5 hala tuju pacu jaminan keselamatan makanan
SERDANG - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengemukakan lima hala tuju ke arah memacu jaminan keselamatan makanan negara dan meningkatkan pendapatan sektor pertanian.
Menterinya Datuk Salahuddin Ayub berkata dokumen yang dirangka berpaksikan sekuriti makanan, pembangunan ekonomi luar bandar serta penggalakan pelaburan swasta dan perdagangan antarabangsa itu antara lain bermatlamat mengeluarkan golongan petani, nelayan dan penternak daripada belenggu kemiskinan.
Beliau berkata hasrat kerajaan melalui lima hala tuju yang menunjangi dokumen itu akan dicapai melalui pelaksanaan 18 strategi dan 51 inisiatif dalam memastikan industri pertanian menjadi lebih berdaya saing.
“Hala tuju pertama meliputi usaha memoden dan meningkatkan pengeluaran pertanian bagi menjamin kestabilan bekalan dan harga makanan negara dengan memberikan penekanan dalam subsektor padi, ruminan dan perikanan.
“Untuk hala tuju kedua, kementerian akan merancakkan penglibatan pelaburan swasta dalam pertanian secara komersial serta meningkatkan dagangan eksport pertanian,” katanya ketika melancarkan Hala Tuju Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani “Prioriti dan Strategi 2019-2020” di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di sini hari ini.
Salahuddin berkata hala tuju ketiga meliputi perkara menjadikan pertanian sebagai satu sumber pendapatan yang mampan dan kukuh serta menguntungkan untuk petani, penternak, nelayan dan agropreneur muda.
Beliau berkata menambahbaik ekosistem industri pertanian untuk menyokong pemodenan pertanian, pelaburan sektor swasta dan aktiviti pengembangan untuk petani, penternak dan nelayan diletakkan sebagai hala tuju keempat.
Dokumen itu diakhiri dengan hala tuju kelima iaitu memperkukuh struktur organisasi jabatan dan agensi di bawah kementerian untuk menambah baik sistem penyampaian serta tadbir urus kementerian, katanya.
Salahuddin berkata dalam melaksanakan dokumen hala tuju itu, kementerian bertekad menjadikan pertanian sebagai penyumbang penting eknomi negara, sekaligus mengeluarkan golongan itu daripada terperangkap dalam golongan B40.
Beliau berkata beberapa langkah telah dirangka untuk dilaksanakan bagi memperkukuh sektor agromakanan negara, antaranya membangunkan pengkalan data agromakanan negara ke arah memastikan setiap perancangan dilaksanakan dengan tepat dan berkesan.
Katanya kementerian juga akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk membangunkan satu pelan induk yang komprehensif untuk pembangunan tanah bagi tujuan pertanian serta menyelesaikan isu-isu berkaitan tanah untuk pertanian.
Selain itu, kementerian juga akan mengkaji semula dasar dan polisi yang ‘counter-productive’ dan merencatkan pelaksanaan perubahan yang hendak dibawa dan menggantikannya dengan polisi yang bersifat ‘mesra pertanian’ yang berupaya mengubah lanskap industri agromakanan negara, katanya.
Sementara itu, Salahuddin dalam sidang medianya berkata dokumen tersebut tidak berlawanan atau bertindih dengan Dasar Agromakanan Negara (DAN) sebaliknya hala tuju yang digariskan dirangka bagi menyokong dasar berkenaan.
Beliau berkata lima hala tuju itu menjadi tonggak penting kepada strategi, pendekatan yang sangat relevan dalam usaha kerajaan membantu petani, penternak dan nelayan.
Berhubung bantuan sara hidup yang dibangkitkan golongan itu, Salahuddin berkata pembentangan hala tuju bukan medan untuk mengumumkan perkara sebegitu dan menegaskan kerajaan tidak pernah menghapuskan insentif yang dinikmati kumpulan petani, penternak dan nelayan sebelum ini.
"Selain berdepan kekangan kewangan, kementerian juga sedang dalam proses pemutihan senarai penerima dan bantuan itu akan dikembalikan apabila situasi kewangan negara pulih," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!