Tuduhan polis kejam tidak adil

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador - Foto Bernama
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador menyifatkan perbuatan melontarkan pelbagai tuduhan liar terhadap polis sehingga menimbulkan persepsi negatif terhadap pasukan itu dilakukan oleh individu yang sengaja ingin ‘popular’.

Menurutnya anggapan seperti ‘polis kejam’ kerana mengenakan tindakan tegas termasuk kompaun adalah tidak wajar kerana setiap tindakan dilakukan mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 dalam usaha untuk memutuskan rantaian pandemik Covid-19.

“Orang ambil kesempatan, ada yang nak popular, lontar pelbagai tuduhan liar kemudian sembunyi tangan. Contohnya macam kes di Lahad Datu kononnya polis tangkap ramai pengemis di sana.

“Sebenarnya warga Pala’u ini mengemis beramai-ramai hampir di setiap lampu isyarat di sana, jadi polis pergi tangkap, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang virus sedang menular. Di Sabah sekarang kes telah menurun tinggal 35 dan kami hendak turunkan lagi.

“Sehubungan itu polis kena ambil tindakan untuk elak mereka berkeliaran, mereka mungkin dijangkiti. Jadi kami tangkap, namun yang keluar dalam berita mengatakan polis kenakan tindakan kompaun RM10,000.

“Cerita sebenarnya kami tangkap di bawah Akta Imigresen dan serahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk perlindungan, tidak ada niat pun hendak kompaun...kami tahu takkan mereka mampu, RM5 pun mereka tidak ada, usahkan RM10,000. Jadi nak kata polis kejam tu tidak adillah,” katanya kepada Bernama.

Jelasnya begitu juga dalam kes melibatkan sepasang kekasih yang kononnya dikompaun RM10,000 baru-baru ini, ketika sedang makan dan minum di Cheras, tindakan itu sebenarnya bukan dilakukan oleh pihak polis, namun oleh sebuah agensi kerajaan yang lain.

Sehubungan itu beliau menyeru masyarakat supaya berfikiran lebih matang dalam menilai setiap tindakan tegas yang dilakukan oleh polis kerana ia dibuat semata-mata untuk kepentingan rakyat serta demi mengekang penularan wabak Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Beliau menegaskan polis hanya bertindak sebagai pasukan yang membantu pelaksanaan undang-undang di bawah Akta 342 berhubung kawalan penyakit berjangkit.

“Undang-undang itu milik Kementerian Kesihatan (KKM) (Akta 342)... kami diminta dan diberi kuasa untuk bantu KKM.

“Isu kompaun RM10,000 telah lama dibincangkan sejak bermula gelombang ketiga Covid-19 apabila wujudnya kluster baharu dan mula merebak dalam kalangan komuniti,” katanya.

“Kompaun RM10,000 itu bukan ditujukan kepada mereka yang membuat kesalahan kali pertama (tapi) ia adalah untuk individu yang mengulangi kesalahan sama iaitu individu yang pernah dikompaun sebelum ini melakukan kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP),” katanya.

Bagaimanapun, katanya orang ramai yang merasakan diri teraniaya atau tidak bersalah boleh mengemukakan rayuan kepada Kementerian Kesihatan di Pejabat Kesihatan Daerah mengikut daerah di mana kompaun itu dikeluarkan. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!