Perak bakal lahirkan 52 usahawan tani nanas
PARIT - Kerajaan negeri Perak melalui Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) bakal melahirkan 52 usahawan tani yang terlibat dalam penanaman nanas di dua lokasi di negeri ini.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, kesemua mereka akan terlibat menerusi Projek Pemacu Agrotani (Pemacu-Tani) Nanas MD2 di Gugusan Ladang Lambor dan Perak Agrotourism Resort (Patro) Sungai Galah.
Menurutnya, daripada jumlah berkenaan, seramai 30 peserta akan terlibat secara langsung dalam penanaman nanas di Gugusan Ladang Lambor dengan keluasan 24 hektar, manakala 22 orang peserta lagi mengusahakannya di Patro Sungai Galah dengan keluasan tanah sekitar 17.6 hektar.
"Setiap peserta akan diberikan tanah seluas 2 ekar (0.8 hektar) untuk diusahakan secara contract farming di mana syarikat peneraju yang dilantik akan menyelia dan memberi tunjuk ajar berkaitan asas pertanian secara teknikal. Peserta juga akan mendapat pendedahan berkenaan kaedah tanaman nanas MD2 ini di peringkat awalan sehingga pengeluaran hasil.
"Hasil pertanian nanas MD2 ini juga akan dibeli semula oleh syarikat peneraju pada harga yang dipersetujui dan hal ini dapat memastikan pendapatan, jualan serta pasaran nanas oleh peserta adalah terjamin," katanya ketika mengadakan lawatan ke Ladang Integrasi Nanas dan Kenaf di Gugusan Ladang Lambor di sini pada Selasa.
Hadir sama dalam lawatan tersebut, Exco Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Perak, Razman Zakaria; Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP, Yahanis Yahya.
Beliau berkata, difahamkan, setakat ini pemilihan peserta masih berjalan dan mana-mana individu yang berminat menyertai projek ini boleh menghubungi Unit Usahawan PPPNP untuk maklumat lanjut.
Menurutnya, tanaman nanas MD2 dipilih kerana ia merupakan antara jenis yang terbaik selain mendapat permintaan tinggi sama ada dalam pasaran negara mahupun luar negara.
"Program tersebut diharap membuka peluang pekerjaan bukan sahaja kepada kumpulan sasar khususnya belia tempatan yang berminat menceburi sektor pertanian malah meningkatkan aktiviti pertanian di Perak pada tahap yang optimum," katanya.
Beliau berkata, pada tahun 2021, PPPNP memberi fokus untuk melahirkan usahawan dalam bidang agropertanian, penternakan dan industri makanan berkaitan pertanian.
Katanya, perbadanan tersebut menyasarkan seramai 400 orang usahawan akan dilahirkan pada tahun ini sekaligus memanfaatkan 1,000 orang ahli keluarga.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!