KOTA BHARU - Seorang bapa dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan mencabul anak kandungnya. Tertuduh iaitu seorang pembantu am berusia 42 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin. Berdasarkan pertuduhan itu, dia didakwa dengan maksud seksual meraba anak perempuannya yang berusia 17 tahun 11 bulan dengan memegang kemaluan remaja itu dalam sebuah bilik di Kampung Gong Kemuntung, Sungai Petai, Pasir Puteh. Perlakuan didakwa dilakukan antara jam 2 pagi hingga 3 pagi pada awal bulan Disember 2019. Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 14 (A) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 14 akta sama. Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan boleh disebat. Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Faizuan Sulaiman manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Faizuan tidak mencadangkan jaminan kerana tuduhan serius yang dihadapi lelaki itu selain kerana hubungannya sebagai bapa kandung mangsa. Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 14 April depan.