Vaksin Comirnaty tunjuk keberkesanan selepas 12 hari suntikan

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - Vaksin Covid-19 keluaran Pfizer-BioNTech, Comirnaty menunjukkan keberkesanan pada hari ke-12 selepas suntikan dos pertama.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keberkesanan akan mencapai 89 peratus antara hari ke-14 dan 21 iaitu pada masa dos kedua diberikan.

"Tahap keberkesanan Comirnaty dilaporkan sebagai 94.6 peratus (N= 36,621) dalam mencegah jangkitan SARS CoV2 bergejala, berdasarkan kajian klinikal fasa tiga yang melibatkan suntikan dua dos dengan selang masa 21 hari," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, keberkesanan jangka panjang untuk pemberian satu dos Comirnaty tidak diketahui kerana penerima vaksin dalam kajian klinikal tersebut menerima dua dos dengan selang masa antara 19 hingga 42 hari.

"Adalah penting untuk diberi perhatian bahawa peningkatan ketara antibodi yang berkebolehan memberi keberkesanan jangka panjang seseorang adalah selepas dos kedua.

"Kelewatan mendapatkan dos kedua mungkin akan melambatkan penghasilan antibodi yang optimum," katanya.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan sentiasa menjalankan pemantauan secara berterusan terhadap vaksin yang digunakan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan melalui program pemantauan mutu produk berdaftar dan pharmacovigilance.

"Ini bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan vaksin tersebut sentiasa terjamin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!