Tak mengaku muat naik video hina polis
SEREMBAN- Seorang penganggur tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu atas pertuduhan memuat naik video di Facebook yang mencemarkan imej dan kredibiliti dua pegawai polis awal Februari lalu.
Tertuduh K Haridas, 40, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Madihah Hairullah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh secara sedar telah membuat penghantaran komunikasi di aplikasi Facebook dengan memuat naik video berdurasi 32 minit 40 saat yang bertajuk 'Salah laku OCPD dan KBSJD IPD Seremban!'.
Dia didakwa menggunakan akaun laman profil Facebook 'Defend People's Rights Group' dengan mengeluarkan kata-kata yang mencemarkan dan memburukkan nama baik serta kredibiliti pegawai polis iaitu Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (KBSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban, Deputi Superintendan Ahmad Jamaluddin dan Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Said Ibrahim.
Kesalahan itu didakwa dilakukan pada jam 10.33 pagi, 2 Februari 2021 di sebuah rumah di Taman Pasir Mas, Rantau di Negeri Sembilan.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (A) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Jika sabit kesalahan tertuduh boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 19 April depan.
Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Christhoper Enteri Anak Mawan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret pada Rabu tertuduh yang sama turut mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menghalang tugas penjawat awam, tiga tahun lepas.
Tertuduh membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Mahyun Yusof.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah dengan sengaja menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas dan enggan memberi kerjasama kepada Pegawai Polis dari Unit Siasatan Jenayah Terkelas bagi mengelakkan bagi pemeriksaan rumah tertuduh dibuat.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Pasir Mas, Rantau, Seremban pada 28 Mac 2018 jam lebih kurang 10.35 malam.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 31 Mac ini.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zainal Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!