Empat penjawat awam antara 38 individu dikompaun langgar SOP

Antara individu yang dikenakan kompaun dalam Ops Noda/Cantas di Cyber Perdana Commercial Centre, Kota Kinabalu.
Antara individu yang dikenakan kompaun dalam Ops Noda/Cantas di Cyber Perdana Commercial Centre, Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Empat penjawat awam antara 38 individu dikenakan kompaun dalam operasi Op Noda/Cantas yang dijalankan di sebuah kafe di Cyber Perdana Commercial Centre awal pagi Rabu.

Dalam operasi jam 1 pagi, semua individu itu dikenakan kompaun kerana didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) selepas pemeriksaan dilakukan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di premis berkenaan.

Pegawai Turus D7, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Sabah, Deputi Superintendan Alhusin Halil berkata, sebaik serbuan dilakukan, polis memeriksa 36 pelanggan dan dua pekerja di kafe berkenaan.

"Hasil pemeriksaan, polis mendapati premis itu menjalankan aktiviti hiburan awam dengan menggunakan lesen tamat tempoh.

"Semua pelanggan yang berada di premis itu dikenakan kompaun manakala dua lelaki yang disyaki pembantu kedai dan juruhebah masing-masing berusia 23 dan 24 tahun ditahan untuk tindakan dan siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Alhusin berkata, polis turut merampas pelbagai kelengkapan dan peralatan hiburan bersama resit jualan untuk membantu siasatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 4 Ordinan Hiburan Awam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!