Mayat wanita ditemukan terapung di Sungai Padas
TENOM - Seorang wanita yang dikhuatiri lemas di Sungai Padas, Kampung Batu-Batu pada Isnin lalu akhirnya ditemukan dalam keadaan terapung di sungai berkenaan.
Masliah Michael, 48, yang dipercayai terjatuh dari tebing sungai itu ditemukan oleh penduduk kampung kira-kira jam 8.30 pagi Rabu selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan oleh pasukan penyelamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tenom, Mohd Zainal Sinsian berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.15 malam Isnin.
Menurutnya, SAR dilaksanakan bermula jam 8 pagi Selasa, namun terpaksa ditangguh selepas tiada sebarang petanda mangsa ditemukan di sungai berkenaan.
"Operasi disambung semula pada jam 8.30 pagi tadi (Rabu) membabitkan 11 anggota bomba bersama empat anggota polis.
"Kemudian, kita menerima maklumat daripada polis bahawa mangsa telah ditemukan oleh penduduk kampung dalam keadaan terapung kira-kira tiga kilometer dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Zainal berkata, usaha mengeluarkan mayat mangsa dari sungai berkenaan segera dilakukan oleh anggotanya dengan bantuan pihak polis.
"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi SAR ditamatkan selepas mangsa berjaya ditemukan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!