'Ini yang perlu saya korbankan'
PELAKON, Ameerul Asyraf Mohammad, berkongsi pengorbanannya sebagai anak seni yang masih hijau.
Menurutnya, pengorbanan itu dianggap sebagai pelaburan untuk masa hadapan, tambahan pula apabila dapat tawaran daripada pengarah terkenal.
“Ketika saya ditawarkan berlakon untuk sebuah drama daripada pengarah terkenal, Hajah Sheila Rusly, saya terus buat persiapan sebelum pergi script reading.
"Saya cetak siap-siap dan baca setiap hari serta fahami jalan cerita.
"Selain itu saya pergi ke gim untuk jaga badan. Kira inilah pengorbanan saya, lagi pun saya jauh daripada keluarga,” ujarnya yang turut berterima kasih kepada pengarah Rashid Sibir.
Berkongsi mengenai pembabitannya sebagai pelakon, dia sedar masih banyak lagi teknik-teknik lakonan yang perlu dipelajari.
“Kadang-kadang saya tertekan juga bila tak dapat nak menyampaikan watak dengan baik. Saya berasakan tak cukup memberi.
“Meskipun baharu saya tidak mahu sambil lewa dan tekanan itu saya jadikan sebagai pesaing terdekat untuk tampil lebih baik melalui proses pembelajaran.
“Bagi saya kalau banyak buat kesilapan saya akan belajar apa yang sepatutnya dilakukan. Kalau OK sepanjang masa sahaja saya tak akan tahu tahap lakonan saya sampai mana.
“Saya pun bukannya lahir yang dikurniakan dengan bakat,” akuinya.
Dalam perkembangan terkini, saksikan lakonan Ameerul dalam drama bersiri ketenteraan berjudul Leftenan Zana terbitan JS Pictures Sdn Bhd, di Slot Lestary, TV3.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!