Perak wujudkan pusat pemberian vaksin bergerak di kawasan pedalaman
IPOH - Kerajaan Perak akan mewujudkan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak di kawasan pedalaman dan perkampungan orang asli di negeri ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, usaha itu dicadangkan bagi membolehkan seluruh rakyat di negeri ini menerima vaksin berkenaan walaupun tinggal jauh di kawasan pedalaman.
Menurutnya, PPV bergerak itu antara tambahan PPV yang akan diwujudkan bagi memastikan hasrat kerajaan untuk memastikan semua rakyat di negara ini divaksin sepenuhnya sehingga hujung tahun direalisasikan.
"Semalam (Selasa) kita dah umum kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bahawa kita sudah ada 31 PPV di seluruh negeri, tetapi kalau guna 31 itu bermakna pemberian vaksin akan selesai pada bulan Mei 2022.
"Bagaimanapun, kerajaan Pusat mahu memastikan pemberian vaksin tersebut selesai sepenuhnya pada hujung tahun ini. Oleh kerana itu tak cukup 31 PPV dan kerajaan negeri diminta untuk tambah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Logo Wanita Perak di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini pada Rabu.
Hadir sama, Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin.
Dalam pada itu, Saarani berkata, kerajaan negeri tidak halangan untuk menambah PPV sedia ada bagi memastikan seluruh rakyat di negeri ini mendapat vaksin menjelang akhir tahun ini.
Menurutnya, kerajaan negeri akan mendapatkan kerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT), Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan sebagai untuk dikenal pasti sebagai PPV bagi fasa kedua.
"Fasa kedua ini melibatkan orang awam, sudah tentu tidak akan cukup PPV di pusat kesihatan sebab mereka ada perkhidmatan sendiri. Setiap daerah telah diminta untuk mengenalpasti PPV masing-masing.
"Pejabat daerah sudah memaklumkan kepada kita, ada yang buat di dewan serbaguna, tetapi dengan syarat tempat-tempat ini ada kemudahan dan keluasan yang sesuai," katanya.
Menurut Saarani, selain penambahan bilangan PPV, tempoh bagi pemberian vaksin itu juga mungkin boleh dipanjangkan bagi membolehkan lebih ramai penduduk diberi vaksin.
Bagaimanapun katanya, keputusan tersebut bergantung kepada keupayaan kakitangan Kementerian Kesihatan yang terlibat dalam proses pemberian vaksin tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!