Pemburu haram ditahan ceroboh Taman Negeri Royal Belum

Suspek ditahan selepas didapati menceroboh Taman Negeri Royal Belum. Foto: FB Perhilitan Semenanjung Malaysia.
Suspek ditahan selepas didapati menceroboh Taman Negeri Royal Belum. Foto: FB Perhilitan Semenanjung Malaysia.
A
A
A

GERIK - Seorang lelaki warga Thailand ditahan selepas disyaki terlibat dalam kegiatan memburu haiwan secara haram dalam operasi bersepadu di Taman Negeri Royal Belum di sini pada Sabtu lalu.

Serbuan dijalankan Renjer Perbadanan Taman Negeri Perak dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak dilakukan selepas berjaya mengesan sebuah kem haram di kawasan hutan simpan itu.

Pengarah Perbadanan Taman Negeri Perak, Mohamed Shah Redza Hussein berkata, rondaan yang dijalankan Renjer Perbadanan Taman Negeri Perak mengesan satu pencerobohan di kawasan berkenaan.

"Pegawai Perhilitan Perak dipanggil bagi membantu membuat tangkapan. Meskipun berlaku pergelutan, suspek akhirnya berjaya ditahan.

"Pemeriksaan lanjut menemui 1.9 kilogram sisik tenggiling, enam jerat dan kayu gaharu. Kesemua barang dirampas untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek yang mengakui berusia 19 tahun itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

"Bagaimanapun, seorang rakan suspek berjaya meloloskan diri. Usaha mengesan rakannya itu sedang dijalankan.

"Suspek ditahan selama 14 hari dan kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 dan Akta Perhutanan Negara 1984," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!