Samirah bantah Eza Shafina sebagai penama KWSP Nazrin

Perbicaraan kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund.
Perbicaraan kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund.
A
A
A

SHAH ALAM - Pegawai Akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengesahkan Samirah Muzaffar membuat bantahan penama bagi caruman kredit KWSP Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan, dibuat atas nama Eza Shafina Dzulkarnain, 47.

Noor Hafizah Osman, 36, berkata, pihaknya menerima bantahan itu di KWSP cawangan Kuala Lumpur, pada 28 Jun 2018.

Kata saksi ke-43 bagi perbicaraan kes pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund itu, berdasarkan rekod KWSP, penamaan dibuat pada 13 Januari 2011.

Ketika membaca pernyataan saksi, Noor Hafizah berkata, Samirah mengemukakan surat bantahan atas namanya dan ditandatangani beliau sendiri.

"Permohonan bantahan tersebut meminta KWSP untuk membekukan akaun Nazrin kerana Samirah dalam proses untuk mendapatkan sijil faraid daripada Mahkamah Syariah.

"Lanjutan itu, pada 6 Julai 2018, Jabatan Pengurusan Operasi Pengeluaran mengeluarkan surat kepada Samirah mencadangkan beliau menfailkan Saman Pemula ke Mahkamah Tinggi serta mendapatkan Perintah Injuksi dalam tempoh 21 hari bekerja," katanya.

Namun Noor Hafizah berkata, pihak KWSP tidak menerima permohonan itu sehinggalah dimaklumkan bahawa Nazrin disiasat sebagai satu kes bunuh.

Sementara itu, ketika ditanya oleh peguam L S Leonard, yang mewakili Samirah dan dua anak lelakinya, Noor Hafizah berkata, beliau sering menerima permohonan bantahan daripada waris.

Artikel Berkaitan:

Leonard: Setuju dengan cadangan saya, puan bekerja sebagai pegawai akaun, yang menguruskan bantahan waris, jadi puan sering mendapat permohonan sebegini?

Noor Hafizah: Ya ada

Leonard: Itu adalah biasa?

Noor Hafizah: Ya

Leonard: Tiada yang luar biasa?

Noor Hafizah: Ya

Samirah Muzaffar, 48, bekas eksekutif kanan yang juga isteri Nazrin serta dua anak lelaki masing-masing ketika kejadian berusia 17 dan 14 tahun didakwa bersama seorang warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari, menyebabkan kematian Nazrin di sebuah rumah di Mutiara Damansara antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi 14 Jun 2018.

Dalam prosiding itu pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Intan Suraya Tengku Ismail, Ashyraf Ashy'ari, Siti Rohaida Che Hamid dan Mohd Asnawi Abu Hanipah manakala pembelaan diwakili Leonard, Rahmat Hazlan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah serta Savreena Kaur.

Perbicaraan di hadapan Ab Karim Ab Rahman bersambung Isnin depan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!