Mark Adam guna nama 12 selebriti wanita
TAMPIL dengan buah tangan terbaharu berjudul Amnesia, penyanyi Mark Adam turut menggunakan nama 12 selebriti wanita popular dalam liriknya, termasuklah Sharifah Sakinah, Jihan Muse, Neelofa, Janna Nick, Izara Aishah dan lain-lain.
“Nama-nama disebutkan dalam lagu ini sebenarnya adalah rakan-rakan dalam industri dan mereka yang pernah bekerjasama dengan saya sebelum ini. Ia tidak memberi maksud apa-apa cuma saya menghargai mereka dalam lagu ini.
“Alhamdulillah setelah hampir tiga minggu dilancarkan, saya menerima respons yang cukup baik daripada peminat.
“Malah banyak komen-komen yang positif diberikan pada muzik video Amnesia di saluran YouTube rasmi Monkey Bone,” katanya yang buat pertama kali bekerjasama dengan syarikat rakaman Monkey Bone sebagai pengedar digital Amnesia.
Amnesia boleh didengari di semua platform digital seperti Spotify, Joox, Apple Music, iTunes, KKBox dan Deezer.
Dalam perkembangan lain, kata Mark, dia kini bakal sibuk di lokasi penggambaran drama siri terbaharu lakonannya di saluran Viu tidak lama lagi, selain pelbagai program TV.
“Selain sibuk dengan aktiviti promosi Amnesia, saya juga bakal tampil dengan beberapa program TV untuk nyanyian, persembahan komedi dan game show.
“Malah dalam masa yang sama juga terlibat dengan beberapa penggambaran drama termasuk untuk siri terbaharu saluran Viu,” akhirinya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!