Potongan cukai kepada syarikat sukarela sertai Safe@Work
SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Kerajaan akan memberikan potongan cukai tambahan kepada syarikat pengilangan dan perkhidmatan berkaitan pengilangan yang berdaftar secara sukarela dengan program Safe@Work mulai 1 April depan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, inisiatif di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) itu melibatkan perbelanjaan ke atas sewaan premis serta asrama pekerja dengan nilai had RM50,000 bagi setiap syarikat.
Menurutnya, Safe@Work bertujuan melindungi golongan pekerja dengan mempertanggungjawabkan majikan untuk menyediakan tempat kerja dan penginapan yang kondusif.
“Syarikat yang berdaftar dengan MITI untuk program ini akan dibenarkan beroperasi dalam keadaan pekerja kontak rapat diasingkan daripada komuniti setempat dan pekerja lain dengan meletakkan mereka dalam safe@work bubble sehingga ke semua pekerja kontak rapat disahkan selamat.
“Selaras dengan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan penguatkuasaan perundangan yang lebih ketat dan telus akan terus dilaksanakan bagi mengawal penularan wabak Covid-19,” katanya dalam siaran langsung pengumuman khas Pemerkasa pada Rabu.
Tambah beliau, majikan yang membuat ujian pengesanan Covid-19 untuk pekerja dibenarkan membuat potongan cukai tambahan ke atas kos ujian tersebut bagi perbelanjaan yang dibuat sehingga 31 Disember 2021.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!