Elavarasan gembira gawang Sarawak United kebal
RENTAK kemenangan bergaya tanpa bolos bakal menjadi azimat buat Sarawak United FC (SUFC) dalam menghadapi baki kempen Liga Premier.
Ketua jurulatihnya, E Elavarasan berkata, dia yakin anak buahnya mampu konsisten walaupun berdepan perlawanan yang lebih sukar selepas ini.
“Secara keseluruhan tiga mata yang dikutip malam ini (Selasa) akan memberi keyakinan pada semua pemain untuk menghadapi perlawanan seterusnya.
“Jadi kami kena konsisten. Bukan selalu dapat rekod ini (tanpa bolos) sebab setiap perlawanan ada perbezaannya,” katanya selepas perlawanan pada Selasa.
SUFC menumpaskan Kuching City FC (KCFC) dengan keputusan 2-0 pada aksi di Stadium Hang Jebat.
Dalam aksi tersebut, Uche Agba membuka laluan kemenangan SUFC dengan membolos gawang lawan seawal minit kesembilan.
Hasrat KCFC untuk mengekang SUFC sehingga wisel penamat ditiupkan terkubur apabila sekali lagi gawang mereka berjaya ditembusi Stuart Wilson Park pada minit ke-45.
“Pertahanan kami juga telah diuji sebaiknya. Begitu juga dengan kapten pasukan. Jadi sekurang-kurangnya kami tahu keadaan pasukan kami dalam menghadapi perlawanan seterusnya,” katanya.
SUFC akan melayan kunjungan Terengganu FC II di Stadium Hang Jebat pada 21 Mac depan.
Sementara itu, pembantu ketua jurulatih KCFC, Sulaiman Hussin mengakui barisan hadapannya agak tumpul pada aksi tersebut.
Katanya, walaupun pasukan mereka mendapat lebih banyak peluang menjaringkan gol berbanding lawan, namun ia gagal disempurnakan.
“Pun begitu kami bangga dengan persembahan kali ini. Malah, sepanjang tiga perlawanan dan cubaan mencari keserasian, inilah yang terbaik,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!