Geng Gopal aktif kegiatan samun di Kulim tumpas

No Image Caption
A
A
A

ALOR SETAR - Polis menumpaskan kumpulan penjenayah dikenali sebagai ‘Geng Gopal’ yang aktif melakukan samun di sekitar daerah Kulim sejak Januari lepas, setelah menahan tiga individu dalam serbuan pada 7 Mac.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, kesemua suspek berumur 26 hingga 30 tahun itu ditahan di beberapa lokasi di daerah terbabit antara 11 pagi hingga 4.30 petang oleh anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim.

“Kumpulan ini menggunakan modus operandi dengan bergerak secara berkumpulan pada lewat malam dan menyasarkan tempat beribadat (Kuil Hindu) yang mempunyai barangan seperti barang kemas disumbangkan oleh penganut agama untuk tujuan beribadat.

“Suspek akan memantau dahulu lokasi sasaran sebelum masuk ke tempat beribadat dengan membawa parang untuk menakutkan penjaga tempat berkenaan. Mereka akan memakai topeng muka bagi mengelakan dikenali oleh mangsa," katanya dalam kenyataan Rabu.

Azhar berkata, siasatan awal mendapati kumpulan berkenaan dipercayai terlibat melakukan 10 kes samun di daerah Kulim dan mereka turut menyasarkan individu yang berjalan atau menunggang motosikal berseorangan sebagai mangsa.

“Kita percaya dengan penahanan suspek ini, polis berjaya membongkar kegiatan samun yang aktif di daerah ini sejak Januari lepas,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan pelbagai kes ditahan reman sehingga 20 Mac dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.- Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!