Maqis tidak benar import semula telur dicemar SE

Maqis
Maqis
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) tidak akan mempertimbangkan permohonan pengimportan semula telur yang telah tercemar dengan bakteria Salmonella Enteriditis (SE) dari Singapura.

Maqis dalam kenyataan pada Rabu menyatakan, pihaknya mengambil maklum berkenaan kenyataan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) pada Ahad lalu, berkaitan pengesanan kehadiran bakteria SE pada konsainan telur eksport daripada Malaysia.

“Maqis akan memastikan pegawai di lapangan untuk memantapkan lagi pemeriksaan, supaya kebarangkalian untuk telur ini diimport semula tidak akan berlaku.

“Kerjasama strategik dan operasi bersepadu Maqis akan sentiasa diperkemaskan dan dipertingkatkan bagi memastikan kawalan import komoditi pertanian dapat diperkukuhkan,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menyatakan, Maqis sentiasa merujuk DVS bagi apa-apa keputusan berkenaan isu yang berbangkit, berkenaan pengimportan dan pengeksportan komoditi haiwan serta hasilan haiwan terutamanya telur.

“Pihak Maqis sangat komited dalam memastikan isu-isu yang melibatkan aspek halal, keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak merbahaya, yang boleh mengancam industri pertanian dan penternakan negara dapat dibendung serta dikawal,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!