Rakyat Myanmar mahukan demokrasi bukan rampasan kuasa
RATUSAN penduduk Myanmar daripada pelbagai latar belakang umur dan kehidupan sanggup turun ke jalanan bagi menyertai tunjuk perasaan menentang rampasan kuasa yang dilakukan oleh tentera pada 1 Februari lalu.
Walaupun para penunjuk perasaan yang terbunuh akibat ditembak oleh pasukan keselamatan sudah mencecah ratusan orang tetapi ia tidak menghalang mereka daripada menyuarakan tentangan terhadap rampasan kuasa itu.
Pasukan polis dan askar menggunakan gas pemedih mata, peluru getah dan hidup, meriam air serta belantan untuk menyuraikan tunjuk perasaan hampir setiap hari selain bertindak menutup perkhidmatan internet pada waktu malam.
Tujuan penutupan internet itu oleh junta tentera adalah untuk menghentikan pergerakan para penunjuk perasaan tersebut yang berasa tidak berpuas hati ekoran penangkap pemimpin parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) dan Penasihat Negara, Aung San Suu Kyi, 75, dalam serbuan pada waktu pagi 1 Februari lalu.
Menurut AFP, walaupun terdapat ancaman yang boleh membawa maut, para penunjuk perasaan itu masih meneruskan tunjuk perasaan pada Selasa lalu walaupun jumlah mereka adalah kecil.
Pihak tentera turut melaksanakan undang-undang tentera di enam kawasan perbandaran sebagai cara untuk membendung tunjuk perasaan tersebut sekali gus mengetepikan kuasa pentadbiran awam negara itu.
Pada awal Februari lalu, junta tentera melarang sebarang tunjuk perasaan antirampasan kuasa diadakan di beberapa kawasan di Yangon dan Mandalay tetapi sebahagian penduduk sanggup mengingkari arahan tersebut.
Presiden negara itu, Win Myint, 69, dan beberapa pemimpin NLD turut ditahan oleh pihak tentera selepas ia mendakwa berlaku penipuan semasa pilihan raya umum Myanmar yang diadakan pada November tahun lalu.
Namun, Suruhanjaya Kesatuan Pilihan Raya Myanmar menafikan dakwaan tentera bahawa terdapat senarai pengundi yang meragukan di 314 kawasan perbandaran menyebabkan rampasan kuasa tersebut dilakukan dengan diketuai oleh Ketua Tentera negara itu, Min Aung Hlaing, 64.
Junta tentera juga berjanji untuk memerintah cuma setahun sebelum menyerahkan kuasa kepada kerajaan awam yang dipilih melalui satu pilihan raya.
Parti NLD sebelum ini menang besar dalam pilihan raya itu dengan memperoleh 83 peratus undi bagi membolehkannya memerintah selama lima tahun sekali gus membolot 396 kerusi di Parlimen berbanding pada 2015 apabila memenangi 390 kerusi.
Dalam pilihan raya itu, Parti Kesatuan Solidariti dan Pembangunan (USDP) yang disokong tentera cuma memenangi 33 kerusi daripada 476 kerusi.
Selepas merampas kuasa, pihak tentera menamakan 11 menteri baharu dalam pentadbiran di negara berkenaan.
Ia juga mengumumkan penarikan balik 24 jawatan menteri dan timbalan menteri kerajaan.
Junta tentera juga melantik bekas jeneral tentera, Myint Swe, 69, yang sebelum ini memegang jawatan sebagai Naib Presiden pertama negara tersebut semasa parti NLD memerintah sebagai Pemangku Presiden Myanmar.
Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Wilayah Yangon memegang jawatan Naib Presiden itu sebelum ini atas lantikan tentera.
Berdasarkan Perlembagaan negara itu, sebanyak 25 peratus kerusi di Parlimen diberikan kepada tentera.
Pada Selasa lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut memberikan amaran tentang peningkatan kematian di Myanmar dan menyatakan para penunjuk perasaan yang ditahan kemungkinan didera manakala ratusan lagi dilaporkan telah hilang dan tidak dapat dikesan keberadaan mereka.
Menurut AFP, terdapat juga kes-kes terpencil tentang askar-askar dan anggota polis yang berpaling tadah tetapi sebahagian besar mereka tidak mengumumkannya di khalayak ramai kerana takut menerima tindak balas kerana menurut undang-undang tentera, hukuman mati akan dikenakan terhadap para pembelot.
China turut memberikan kenyataan bernada agresif kepada Myanmar supaya mengambil langkah-langkah penting untuk menghentikan keganasan dan menghukum pesalah yang mengakibatkan kebakaran beberapa kilang milik negara itu.
Sebelum ini, PBB dan negara-negara Barat mengutuk pembunuhan orang awam yang dilakukan oleh pasukan keselamatan negara itu.
Namun, walaupun kritikan dilakukan, keganasan masih berterusan berlaku di Myanmar.
"Apa yang kami mahu ialah demokrasi. Apa yang kami mahukan ialah kebebasan. Saya merayu kepada anda, tolonglah kami," kata seorang ibu kepada seorang pelajar perubatan berketurunan China, Khant Nyar Hein.
Nyar Hein mati akibat tembakan pada kepala di kawasan bandar Tamwe, tengah Yangon baru-baru ini seperti dilaporkan oleh AFP.
Namun, kehilangan nyawa juga turut dialami oleh pasukan polis dalam tunjuk perasaan itu apabila salah seorang anggotanya turut ditembak mati setelah cedera pada bahagian dada di bandar Bago, tengah Myanmar pada Ahad lalu. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!