Kompaun RM10,000 dan budi bicara

A
A
A

ADA pun beberapa hari yang lepas, penulis membaca berita 'ngeri’ di Facebook bahawa ada seorang pemuda dan temannya dikompaun sebanyak RM10,000 setiap seorang dalam restoran kerana menanggalkan pelitup muka, sungguhpun mereka memang pakai pelitup muka sebelum makan.

Penulis teringat jaminan pihak polis bahawa kompaun RM10,000 adalah jumlah maksimum untuk menghukum pesalah-pesalah berulang yang degil selalu langgar prosedur operasi standard (SOP) wabak.

Jumlah denda mungkin RM50 sahaja kalau rayuan yang munasabah dibuat dan pegawai yang diberi kuasa oleh Ketua Pengarah Kesihatan untuk mengutip kompaun.

Dengan hati yang lega, penulis pun pergi makan di kopitiam bila tiba-tiba terasa lapar. Di kopitiam, penulis memesan kuetiau goreng dan kopi 'o’ kosong. Kopi 'o’ kosong itu datang dahulu tetapi ia manis sangat dan tidak kosong, maka penulis pun mengadu dan minta digantikan segelas kopi 'o’ kosong.

Tiba-tiba datang sekumpulan polis membuat pemeriksaan. Penulis memang patuh 100 peratus SOP dan telah pun mengimbas aplikasi MySejahtera bila masuk kopitiam tadi.

Dengan hati yang tenang, penulis pun memerhatikan anggota-anggota polis melaksanakan tugas. Mereka nampaknya bersopan dengan senyuman bila pergi meja ke meja.

Tiba-tiba, seorang polis datang ke meja penulis dan bertanya: “Mengapa saudara tidak pakai pelitup muka?”

“Tuan, saya baru tanggalkan pelitup muka saya.” Penulis pun tunjukkan pelitup muka di poket baju dan jelaskan: “Untuk minum kopi 'o’.”

Artikel Berkaitan:

“Kopi 'o’? Di mana?” Polis itu tanya dengan nada yang mengejek.

Penulis baru teringat, kopi 'o’ tak kosong sudah pun dikembalikan tetapi kopi 'o’ kosong belum sampai lagi. Kesal tidak set up kamera di depan untuk membuktikan tidak bersalah macam kamera di kereta!

Penulis cuba memberi penjelasan tetapi polis terus menghulurkan saman dengan angka RM10,000 sahaja.

“Maaf tuan. Ini SOP. Tuan boleh jelaskan kepada pegawai berkenaan yang menentukan denda akhir.”

Sudah hilang segala kelaparan dan selera, penulis pun pergi berjumpa pegawai berkenaan.

Penulis menjelaskan kepada pegawai tersebut dan beliau senyum manis: “RM10,000 tuan.”

“Bukankah tuan ada kuasa budi bicara? Saya memang tidak bersalah.”

“Tuan, semua orang datang dengan cerita. Takkan saya nak percaya semua orang? Kuasa dan budi bicara tak pernah percuma.”

Senyuman beliau lebih manis lagi.

Adakah itu isyarat untuk penulis berikan sogokan? RM10,000 cukup untuk bayar ansuran rumah 10 bulan tetapi kalau bayar sogokan, hilanglah maruah dan integriti.

Penulis dalam dilema besar. Peluh sudah mengalir di dahi.

Penulis terkejut. Rupa-rupanya itu mimpi ngeri sahaja. Matahari pun belum terbenam.

Kalau itu bukan cerita dalam mimpi dan penulis berani mendedahnya tanpa bukti suara atau video, mungkin penulis boleh didenda RM100,000 kerana menyiarkan berita palsu pula.

Mimpi ngeri itu mengingatkan penulis peri pentingnya undang-undang digubal dengan rapi, bukan dibuat sesuka hati. Tidak rapi, suci sekalipun niatnya, rasuah mungkin hasilnya.

Ada yang kata, jika Parlimen buka atau tutup pun, apa bezanya kepada hidup orang biasa? Bezanya RM10,000. Kalau Parlimen bersidang, ahli Parlimen mana yang berani menyokong kompaun RM10,000 atau denda RM100,000?

Sedapnya masakan bonda,

Sambal merah digoreng keli,

Rakyat sengsara bayar denda,

Bila Parlimen buka kembali?

Kompaun RM10,000 adalah jumlah maksimum untuk menghukum pesalah-pesalah berulang.

* Prof Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) ialah seorang ahli sains politik yang mengkhusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!