Che Adam sudah 79 kali derma darah
KUANTAN - Pengalaman menyaksikan sendiri kekurangan bekalan darah di sebuah hospital mendorong Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman menderma darah bagi menyelamat nyawa yang memerlukan.
Che Adam yang sudah 79 kali menderma darah sejak berusia 21 tahun menjadikan derma darah ini sebagai satu amalan baik untuk kesihatan.
"Pada ketika itu saya bekerja sebagai pegawai perubatan di Unit Kecemasan di Hospital Seremban, Negeri Sembilan dan melihat ramai pesakit memerlukan darah seperti mereka yang kemalangan, talasemia, anemia, wanita yang tumpah darah dan sebagainya.
"Bermula dari situ, saya berasa perlu saya menderma darah untuk membantu mereka yang memerlukan dan sekurang-kurangnya amalan saya ini mampu memberi kehidupan kepada insan lain," katanya.
Che Adam ditemui pada Program Infaq Darah Prihatin iaitu program kolaboratif APM bersama Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan (MAKSAK) Pahang yang diadakan di Kolej Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (KUIPSAS) di sini pada Rabu.
Program diadakan bersempena sambutan Hari Ulang tahun APM ke-69 pada 24 Mac ini.
Hampir 100 pegawai dan anggota APM dari Kuantan dan Pekan menderma darah pada program yang bermula jam 9 pagi hingga 3 petang itu dan program sama turut diadakan serentak di daerah lain.
Selain itu, program infaq darah itu juga terbuka kepada orang awam yang layak menderma darah.
Che Adam berkata, galakan positif daripada ramai pesara yang pernah menyarung pakaian seragam dan masih aktif menderma menguatkan lagi semangatnya untuk berbuat demikian.
"Bermula dari situ menderma darah sudah menjadi amalan saya dan akhirnya ia juga semakin menjadi ikutan anak buah,” katanya.
Mengulas lanjut mengenai program itu, Che Adam berkata, program infaq darah ini dilakukan bagi membantu menambah bekalan tabung darah di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).
Beliau yakin program ini dapat meningkatkan kesedaran orang awam mengenai kepentingan menderma darah yang mampu menyelamatkan nyawa insan yang memerlukan.
Sementara itu, kakitangan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Kuantan, Mohd Suhaimi Ismail berkata, dia sudah menjadi penderma darah sejak tahun 2008.
"Ini adalah kali ke-26 saya menderma darah yang pada mulanya dilakukan secara suka-suka dan sekadar ingin mencuba sahaja.
"Tapi selepas beberapa kali menderma darah, saya ubah pendirian saya daripada suka-suka kepada tanggugjawab bagi membantu mereka yang memerlukan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!