Presiden Tanzania meninggal dunia
NAIROBI - Presiden Tanzania, John Magufuli meninggal dunia di Dar es Salaam pada usia 61 tahun.
Beliau meninggal dunia pada Rabu akibat komplikasi jantung, menurut Naib Presiden, Samia Suluhu Hassan selepas membuat pengumuman berita berkenaan di siaran televisyen tempatan, lapor BBC.
Magufuli tidak muncul di khalayak sejak lebih dua minggu lepas mengundang spekulasi mengenai tahap kesihatannya.
Sebelum ini, ahli politik pembangkang mendakwa mendiang dijangkiti Covid-19 tetapi berita itu tidak disahkan.
Semasa hayatnya, Magufuli antara pemimpin Afrika yang skeptikal dengan rawatan moden untuk menangani Covid-19, sebaliknya menggesa rakyat beralih kepada rawatan herba dan amalkan doa-doa tertentu.
Berdasarkan perlembagaan Tanzania, Naib Presiden akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden baharu nanti untuk menghabiskan penggal lima tahun Magufuli yang bermula tahun lepas.
Tanzania akan berkabung selama 14 hari dengan bendera dikibarkan separuh tiang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!