Kemudahan mikro kredit Pemerkasa bantu PKS terkesan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang mengalami masalah aliran tunai ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 terus dibantu kerajaan menerusi kemudahan pembiayaan mikro kredit yang disediakan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa).

Presiden Persatuan PKS Malaysia, Datuk Michael Kang berkata, sekurang-kurangnya 30 peratus industri di Malaysia masih tidak dibenarkan beroperasi ketika PKP 2.0 sekali gus keadaan itu menyebabkan PKS mengalami masalah aliran tunai yang tinggi.

“Perdana Menteri juga mengumumkan PKP secara menyeluruh mungkin tidak dilaksanakan pada masa akan datang, sebaliknya ia dikuatkuasakan mengikut lokaliti dan menumpukan kluster yang terlibat sahaja.

“Itu penyelesaian yang tepat. Kita perlu kekal bertahan dalam situasi pandemik ini,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Zulfikri Osman pula berkata, majoriti usahawan mikro pada tahun ini masih bergelut untuk meneruskan kelangsungan dalam keadaan PKP yang berterusan akibat Covid-19.

Beliau berkata, justeru kemudahan pembiayaan mikro kredit tersebut sangat penting untuk PKS meneruskan kelangsungan perniagaan dan pada masa sama, mereka menghadapi risiko gulung tikar jika tidak dibantu.

“Sekiranya program vaksin dapat berjalan dengan sempurna dan aktiviti ekonomi dapat dilaksanakan seperti biasa, kebanyakan usahawan akan kembali stabil.

“Pada masa itu barulah majoriti PKS dapat membuat perancangan untuk mempertingkatkan perniagaan mereka,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Semasa mengumumkan Pemerkasa pada Rabu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan bersetuju untuk menyediakan dana pembiayaan tambahan sebanyak RM500 juta bagi kemudahan pembiayaan mikro kredit melalui program-program di bawah Bank Simpanan Nasional (BSN), Tekun, Mara dan SME Corp.

Jumlah tersebut merupakan penambahan kepada peruntukan RM1 bilion bagi kemudahan pembiayaan mikro kredit yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2021.

Melalui BSN, dana sebanyak RM300 juta disediakan manakala RM50 juta disediakan oleh SME Corp kepada PKS tempatan dengan kadar faedah serendah tiga peratus.

Sementara itu, Mara menawarkan RM50 juta bagi Skim Pembiayaan Perniagaan Prihatin Mikro kepada 1,000 PKS mikro selain Tekun Nasional yang menyediakan RM60 juta untuk Skim Pembiayaan Informal bagi perniagaan secara kecil-kecilan dari rumah, pasar malam dan pasar tamu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!