Barcelona tidak akan lepaskan Messi
PRESIDEN baharu Barcelona, Joan Laporta menegaskan kelab Catalan itu tidak akan melepaskan pemain bintangnya, Lionel Messi ke kelab lain pada jendela perpindahan akan datang.
Menurutnya, pasukan gergasi Sepanyol itu masih mengharapkan khidmat pemenang enam kali Ballon d'Or itu dan percaya Messi juga tidak mahu berpindah daripada kelab tersebut.
"Kami mempunyai pemain yang bagus di Barcelona dan dalam sejarah pasukan ini tetapi jika kami berjaya ia kerana kami stabil. Kerjasama dalam pasukan membuatkan anda stabil dan saya mengharapkan semua orang di Barcelona untuk berfikir apa yang mereka boleh lakukan untuk kelab ini.
"Saya di sini untuk membuat keputusan seperti meyakinkan Messi untuk kekal di sini. Kami akan melakukan apa sahaja untuk memastikan dia kekal di sini. Anda tidak boleh tinggalkan kelab ini Messi.
"Kami tidak boleh melakukannya sendirian sesuai dengan pendirian bahawa kita akan kuat bersama-sama. Dalam keadaan genting ini, kita mampu mengatasi cabaran," katanya dalam ucapan selepas memulakan tugas rasmi sebagai presiden kelab itu pada Khamis.
Laporta dilantik semula sebagai Presiden Barcelona selepas 11 tahun meninggalkan jawatan tersebut dan mempunyai misi besar untuk membawa kembali kegemilangan kepada pasukan itu.
Messi sebelum ini dilaporkan tidak gembira di Barcelona dan mahu meninggalkan kelab tersebut, namun kenyataan terbaharu daripada Laporta itu menyaksikan pemain kelahiran Argentina itu akan terus kekal di Camp Nou.
"Apabila pandemik Covid-19 ini sudah berakhir, maka keuntungan akan kembali dinikmati kelab. Saya akan menerapkan kepimpinan yang baik kerana saya mudah bertolak ansur.
"Kita akan membuat keputusan untuk mempertahankan kelab ini sebaik mungkin," kata Laporta.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!