Perlu segera beritahu pengadil
PEMBANTU pengadil perlu segera memberitahu pengadil perlawanan sekiranya berlaku insiden yang mencetuskan keputusan kontroversi.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Penang FC, Dr Amar Pritpal Abdullah berkata, pembantu pengadil tidak seharusnya hanya berdiam diri tetapi sebaliknya perlu segera memberitahu pengadil mengenai perkara sebenar yang berlaku.
Menurutnya, perkara berkenaan boleh dilakukan kerana pengadil dan juga pegawai perlawanan dibekalkan alat komunikasi yang membolehkan mereka berinteraksi di padang.
“Bagi saya perkara-perkara seperti ini adalah hasil kesilapan kita sebagai manusia biasa, mungkin kita di sebelah tepi padang nampak, tetapi pengadil tidak nampak hingga menyebabkan berlakunya keputusan yang kontroversi.
“Apa pun, pengadil juga manusia yang melakukan kesilapan jadi di sinilah perlunya pegawai perlawanan seperti penjaga garisan untuk membantu memberi pandangan atau sebagainya.
“Pengadil pula janganlah kelam kabut membuat keputusan, biarlah berbincang dulu dan dapatkan pandangan pembantu pengadil,” katanya kepada Sukar Sinar pada Rabu.
Amar Pritpal berkata demikian ketika mengulas insiden semasa aksi Liga Super, Penang FC menentang UiTM FC di Stadium Bandaraya pada Selasa yang menyaksikan pemain The Lions, Adam Reed dilihat melakukan kekasaran terhadap Muhamad Azwan Mohd Aripin apabila mengangkat kaki tinggi bagi mengekang pergerakan pemain tersebut.
Tindakan Adam Reed menyebabkan bekas pemain Pahang musim lalu itu hanya dilayangkan kad kuning oleh pengadil sehingga mencetuskan kritikan dalam kalangan netizen yang menonton perlawanan tersebut.
Dalam pada itu, Amar Pritpal menegaskan bahawa pihaknya tidak bercadang membuat laporan lanjut berhubung insiden berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!