Polis hilang ketika tsunami Acheh ditemui di rumah sakit jiwa

Lelaki dipercayai Asep ditemui selamat selepas gagal dikesan ketika bencana tsunami 2004. - Foto Kompas
Lelaki dipercayai Asep ditemui selamat selepas gagal dikesan ketika bencana tsunami 2004. - Foto Kompas
A
A
A

ACHEH - Selepas 17 tahun, seorang lelaki dipercayai pegawai polis yang hilang selepas bencana tsunami 2004 didakwa ditemui selamat di Rumah Sakit Jiwa (RSJ) Zainal Abidin di Banda Aceh.

Berdasarkan laporan Kompas, Baharaka Asep ditemui oleh anggota polis daerah Acheh, Bripka Indra S selepas menerima maklumat awal daripada orang ramai.

Indra telah merakam pertemuan itu hingga tular di laman sosial sejak Rabu.

Menerusi rakaman video berdurasi 12 saat memaparkan Indra kelihatan sungguh gembira ketika menyampaikan maklumat terbabit kepada rakan-rakan polis yang lain.

"Alhamdulillah Asep telah dijumpai, namun Asep kelihatan binggung tanpa reaksi kerana mengalami masalah mental," katanya.

Menurut Kompas, sejak Rabu, RSJ terbabit dibanjiri anggota polis dipercayai ingin menziarahi Asep.

Bagaimanapun, anggota polis enggan dikenali berkata, maklumat terbabit belum disahkan kerana perlu menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk mengetahui sama ada lelaki itu adalah Asep atau sebaliknya.

Sementara itu, Ketua Perhubungan Masyarakat Polis Aceh, Kombes Winardy, mengesahkan pihaknya telah menerima maklumat terbabit.

Artikel Berkaitan:

"Sebaik menerima laporan berkenaan, sepasukan polis telah bergegas ke RSJ Acheh untuk proses pengecaman dan kenal pasti.

"Maklumat awal dari RSJ, pesakit dipercayai Bharaka Zainal Abidin Alias Asep mula menerima rawatan di RSJ sejak 2009," katanya.

Jelasnya, lelaki terbabit telah ditempatkan di rumah sakit biasa kemudian dipindahkan ke RSJ Zainal Abidin Acheh.

"Buat masa ini, kami belum dapat memastikan sama ada lelaki terbabit ialah Asep iaitu anggota polis Acheh yang hilang ketika tsunami 2004.

"Bagaimanapun kami akan bertemu keluarganya di Jawa Barat untuk melakukan ujian DNA, cap jari dan maklumat pengenalan diri," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!