Petronas berjaya tetapkan harga tawaran bon bernilai AS$600 juta

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Petronas berjaya menetapkan harga untuk nota tranche tunggal berjangka tujuh tahun bernilai AS$600 juta.

Nota itu ditetapkan pada harga 85 mata asas (bps) melebihi Perbendaharaan AS tujuh tahun untuk menghasilkan 2.112 peratus.

Tawaran itu mendapat banyak permintaan daripada pasaran menerusi proses penetapan harga, menggambarkan keyakinan pasaran terhadap pengukuhan kredit Petronas berikutan penarafan semasa A2 oleh Moody’s, A- oleh S&P dan BBB+oleh Fitch, katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Terbitan itu merupakan bon korporat pertama yang diterbitkan oleh anak syarikat milik penuhnya, Petronas Energy Canada Ltd (PECL).

Hasil akan digunakan oleh PECL untuk membiayai aktiviti pembangunan dan pengeluaran yang berterusan, pembiayaan semula hutang dan untuk tujuan korporat dan am. PECL memberi tumpuan kepada pembangunan dan pengeluaran minyak dan gas asli di Kanada.

Nota berkenaan dijangkakan selesai pada 23 Mac 2021 dan akan disenaraikan di Bursa Saham Hong Kong. BofA Securities bertindak sebagai penyelaras global tunggal bersama-sama Citigroup, HSBC dan ScotiaBank sebagai penyelaras bersama. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!