BATU PAHAT - Polis berjaya menumpaskan aktiviti pelacuran melibatkan wanita warga asing dalam satu serbuan di sebuah rumah urut di sekitar Pura Kencana, Sri Gading, kira-kira jam 12 tengah malam semalam. Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, dalam serbuan yang dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat itu, 12 wanita warga Vietnam berumur di antara 25 hingga 35 tahun telah ditangkap. "Dalam serbuan tersebut juga, seorang lelaki tempatan berumur 58 tahun yang berperanan sebagai penjaga premis dan pelindung kepada pekerja warga asing ini ditahan bagi membantu siasatan selain dua lelaki tempatan yang berada dalam premis tersebut sebagai pelanggan. "Turut dirampas adalah beberapa keping kondom dan cecair pelincir yang dipercayai digunakan dalam kegiatan pelacuran ini serta sejumlah wang tunai disyaki hasil daripada kegiatan ini dan pemeriksaan mendapati premis ini juga beroperasi tanpa lesen," katanya. Menurutnya, siasatan juga bukan sahaja menjurus ke atas kesalahan persundalan yang disiasat di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan dan Seksyen 373 kanun yang sama, malah turut disiasat di bawah kesalahan Imigresen kerana tiada dokumen perjalanan yang sah, bekerja dan menggaji tanpa permit. Katanya, kesemua tangkapan juga dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Pahat, pagi semalam untuk permohonan reman selama empat hari iaitu sehingga 17 Februari ini. "IPD Batu Pahat sangat komited dalam usaha membasmi kegiatan tidak bermoral ini di daerah ini dan bagi merealisasikan matlamat ini, kami amat mengalu-alukan penyampaian maklumat daripada masyarakat. "Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan pelacuran atau sebarang kegiatan jenayah di daerah ini dengan menghubungi Pusat Kawalan Daerah di talian 074343999 atau di mana-mana balai polis berhampiran di daerah ini," katanya.