Solksjaer mahu bawa pulang Dalot
PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer memberikan bayangan untuk membawa pulang pemain remajanya, Diogo Dalot yang kini dipinjamkan kepada AC Milan.
Menurut Solskjaer, Dalot 21, kini dilihat berada pada prestasi terbaik setelah diberikan lebih minit beraksi bersama gergasi Seri A itu, berbanding ketika dia berada di Old Trafford sebelum ini.
Malah menurut Solskjaer, pihaknya juga ada mendengar desas desus mengenai perancangan untuk menjadikan Dalot sebagai pemain tetap untuk skuad Rossoneri itu.
“Kita sentiasa ada perancangan untuk Dalot, tetapi musim lalu dia seringkali dilanda masalah kecederaan dan disebabkan itu kita telah ‘meminjamkannya’ ke AC Milan.
“Kini, dia telah berjaya membarisi kesebelasan utama AC Milan mendapat lebih minit beraksi.
“Selain itu, kita juga ada mendengar desas-desus yang mengatakan AC Milan berminat mengekalkan khidmat Dalot, namun kita sememangnya tidak bercadang untuk melanjutkan lagi tempoh ‘pinjamannya’ itu,” katanya.
Untuk rekod, Dalot telah pun melakukan 23 penampilan bersama AC Milan dan menjaringkan dua gol setakat ini.
Sementara itu, Solskjaer berkata, pihaknya gembira dengan perkembangan terkini Dalot ketika beraksi dengan AC Milan dan berharap pemain berkenaan akan dapat dibawa pulang ke Old Trafford, suatu hari nanti.
“Dia kini kini beraksi di kelab yang besar dan dia beraksi dengan baik bagi kelab berkenaan.
“Bagaimanapun, dia adalah pemain kita dan kita tetap mahu membawanya pulang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!