Lam Thye ajak rakyat sasar sifar kompaun SOP

LEE LAM THYE
LEE LAM THYE
A
A
A

SHAH ALAM - Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye mengajak seluruh rakyat Malaysia supaya bersatu dan berazam untuk mencapai sasaran sifar kompaun pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata, sasaran itu boleh dicapai dengan mudah iaitu dengan mematuhi SOP ketat dan berdisiplin.

“Jadikan ini satu cabaran untuk mendisiplinkan diri juga untuk mencapai kesihatan kendiri. Dengan melakukan hal ini, pihak berkuasa tidak ada alasan untuk mengeluarkan notis kompaun.

“Sekiranya kita berjaya mendisiplinkan diri sendiri, nescaya kita akan mampu untuk mencapai sifar kompaun setiap hari,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Lam Thye berkata, norma baharu seperti memakai pelitup muka, menjaga jarak dan sentiasa mendaftar MySejahtera menjadi budaya serta cara hidup rakyat ketika ini.

Menurutnya, pengabaian norma baharu boleh mencetuskan gelombang pandemik Covid-19 yang lebih besar, sekaligus mensia-siakan pengamalan SOP sejak setahun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Rabu mengumumkan pindaan terhadap pelaksanaan kompaun pelanggaran SOP membabitkan tiga kategori kesalahan.

Diskaun 50 peratus diberi bagi pembayaran dalam tempoh tujuh hari dan 25 peratus bagi bayaran dalam tempoh 14 hari, manakala tiada pengurangan selepas tempoh itu.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!