Tiga ditahan tangkap hasil laut guna bom ikan
KOTA KINABALU - Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu menahan tiga lelaki yang dipercayai terbabit dalam kegiatan mengebom ikan di Perairan Taburan, Kota Belud pada Rabu.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Kota Kinabalu, Asisten Superintendan Roslan Awang berkata, kesemua suspek berusia antara 26 hingga 52 tahun itu ditahan dalam satu operasi susulan maklumat awam.
"Dalam operasi tersebut, kelihatan sebuah bot kayu dan bot pam dalam keadaan mencurigakan sedang berlegar-legar di Perairan Taburan. Polis berjaya mengejar bot kayu dan menahan tiga lelaki.
“Pemeriksaan terhadap bot kayu menemukan beberapa peralatan untuk bom ikan serta kira-kira 10 kilogram (kg) ikan pelbagai jenis, disyaki diperoleh dengan cara mengebom ikan," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Roslan bagaimanapun berkata, bot pam itu pula didapati memecut laju ke arah Pulau Silad sebelum dua lelaki dilihat melarikan diri ke pesisir pantai dan pemeriksaan ke atas bot itu menemukan pelbagai peralatan dipercayai untuk mengebom ikan serta 5kg ikan pelbagai jenis.
Katanya, kesemua rampasan termasuk dua bot itu dianggarkan bernilai RM32,000 dan kes disiasat di bawah Akta Bahan Letupan 1957 serta Seksyen 26(1)(c) Akta Perikanan 1985.
"Polis Marin menggalakkan masyarakat pesisir pantai dan komuniti maritim untuk menyalurkan apa-apa maklumat melalui aplikasi WhatsApp PPM Wilayah 4 Sabah di nombor 013-2831197 bagi memastikan keselamatan setempat," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!