Tempoh makan satu jam di restoran di Pahang kekal
KUANTAN - Tempoh satu jam kebenaran bagi setiap pelanggan berada di premis makanan di Pahang kekal seperti pengumuman sebelum ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, jika rakyat boleh mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan mungkin ketetapan itu akan dilonggarkan.
"Kita (kerajaan Pahang) tidak berniat untuk menyusahkan rakyat, tetapi ada segelintir rakyat yang mengambil mudah perkara ini.
"Jadi, sebaiknya apabila sudah selesai makan terus balik dan memberi peluang kepada pelanggan lain," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Pelancaran Tema Baharu Pelancongan Negeri Pahang di Tanjung Lumpur pada Khamis.
Hadir sama, Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin dan Pengarah Tourism Malaysia Pahang, Datuk Ishak Mokhtar.
Wan Rosdy berkata, langkah itu bertujuan untuk menjaga rakyat Pahang daripada penularan wabak Covid-19.
Menurutnya, sekiranya keadaan penularan pandemik itu semakin baik, kerajaan negeri sedia memanjangkan tempoh masa sehingga dua jam.
Pada 11 Mac lalu, jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang dalam satu kenyataan berkata, pelanggan hanya dibenarkan berada di premis makanan dalam tempoh satu jam.
Premis makanan juga perlu memastikan jarak satu meter antara meja dan kapasitinya bergantung berdasarkan saiz dan penjarakan fizikal satu meter.
ARTIKEL BERKAITAN: Hanya satu jam dibenarkan makan di restoran
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!