Serangan jantung di hutan, helikopter bomba bantu operasi menyelamat

Unit Udara JBPM melakukan khidmat khas menyelamat seorang warga emas yang mengalami serangan jantung di Sungai Singgor, Kampung Tekam, Gerik pada Khamis.
Unit Udara JBPM melakukan khidmat khas menyelamat seorang warga emas yang mengalami serangan jantung di Sungai Singgor, Kampung Tekam, Gerik pada Khamis.
A
A
A

GERIK - Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melakukan khidmat khas menyelamat seorang warga emas yang mengalami serangan jantung ketika melakukan kerja-kerja kajian di Sungai Singgor, Kampung Tekam, di sini pada Khamis.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Gerik, Shahirul Anuar Abd Azam berkata, panggilan kejadian itu diterima pada jam 11.29 malam Rabu memaklumkan seorang lelaki berusia 64 tahun dalam keadaan lemah.

Menurutnya, mangsa bersama lima lagi rakannya masuk ke kawasan kajian itu sejak Rabu dipercayai bagi pembinaan projek mini hidro yang terletak dalam kawasan hutan berhampiran perkampungan orang asli, kira-kira 20 kilometer dari laluan utama jalan balak.

"Lokasi kejadian hanya boleh diakses mengikut laluan balak dengan berjalan kaki selama lima jam.

"Mengambil kira faktor itu, unit udara telah diatur gerak bagi membantu operasi menyelamat ini. Mereka tiba pada jam 11.55 pagi tadi (Khamis) di lokasi seperti yang dinyatakan dalam koordinat," katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya diterbangkan ke Lapangan Terbang Gerik pada jarak 15 minit dari lokasi mangsa diambil sebelum diserahkan kepada Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

"Mangsa ketika itu berada dalam keadaan lemah telah dibawa ke Hospital Gerik untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Operasi disertai 10 anggota unit udara dan 15 anggota dari Balai Bomba Gerik itu tamat sepenuhnya jam 3.15 petang.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!