Empat pusat kumpul, beli sawit disyaki seleweng timbangan

Pegawai KPDNHEP Perak menjalankan Operasi Manipulasi Timbangan Sawit sekitar Manjung. - Foto ihsan KPDNHEP
Pegawai KPDNHEP Perak menjalankan Operasi Manipulasi Timbangan Sawit sekitar Manjung. - Foto ihsan KPDNHEP
A
A
A

LUMUT - Empat pusat pengumpulan dan pembelian buah sawit dikenakan tindakan selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyelewengan timbangan dalam Operasi Manipulasi Timbangan Sawit di sini.

Operasi yang berlangsung selama tiga hari sejak Selasa lalu dilakukan pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri (KPDNHEP) Perak bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Cyber Security Malaysia dan syarikat dilantik (Penentusahan) sekitar Daerah Manjung.

Pengarah KPDNHEP negeri, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, operasi itu bertujuan untuk menyemak dan menyukat peralatan timbangan yang digunakan premis bagi memastikan alat yang digunakan telah ditentusahkan oleh syarikat yang dilantik.

Menurutnya, ia penting bagi memastikan ketepatan timbangan setiap buah sawit.

"Sebanyak lima pusat diperiksa dan hasilnya, sebuah premis diambil tindakan sitaan ke atas beberapa peralatan seperti satu set komputer, alatan timbangan dan premis itu diarahkan tutup serta merta untuk siasatan selanjutnya.

"Tiga pusat pengumpulan dan pembelian buah sawit diambil tindakan kompaun serta-merta oleh pihak KPDNHEP Manjung dan notis kompaun oleh pihak MPOB," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Saifullizan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 20a (1) (e) Akta Timbang dan Sukat 1972, Peraturan 37 Peraturan-Peraturan Timbang dan Sukat 1981 serta Akta Lembaga Minyak Sawit 1998 dan peraturan-peraturan subsidiari di bawahnya.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap pusat pengumpulan dan pembelian atau peniaga yang mengambil kesempatan terhadap penyelewengan timbangan buah sawit ini.

Artikel Berkaitan:

"Mana-mana pembaik diingatkan supaya tidak sesekali melakukan kesalahan sama kerana lesen mereka boleh dibatalkan oleh KPDNHEP," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!