Jumlah tapak bazar Ramadan bergantung kemampuan PBT

Amirudin ketika ditemui pemberita di Hospital Shah Alam pada Khamis.
Amirudin ketika ditemui pemberita di Hospital Shah Alam pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Jumlah pembukaan tapak bazar Ramadan di Selangor bergantung kepada kemampuan kawalan pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri tidak menghalang peniaga berniaga di bazar Ramadan kerana aktiviti itu mendapat kebenaran daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada Selasa.

Bagaimanapun menurutnya, jumlah pembukaan tapak bazar perlu dihadkan bagi mengelakkan wujud kluster baharu Covid-19 di tapak perniagaan tersebut.

“Saya mengingatkan prosedur operasi standard (SOP) perlu dijaga kerana masih ramai yang belum mengambil suntikan vaksin,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Shah Alam di sini pada Khamis.

Dalam pada itu, Amirudin turut menggalakkan peniaga dan pembeli di bazar Ramadan untuk menggunakan perkhidmatan pembayaran dalam talian dan penggunaan e-dompet.

Ujarnya, inisiatif kerajaan negeri sebelum ini seperti e-kitchen dan e-bazar raya juga akan diteruskan kerana usaha itu dapat membantu peniaga menjual produk mereka secara dalam talian.

Pada Selasa, kerajaan bersetuju membenarkan operasi bazar Ramadan, bazar Aidilfitri dan solat tarawih di seluruh negara pada Ramadan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia akan dilaksanakan dengan SOP yang ketat.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Bazar Ramadan, Aidilfitri dan solat tarawih dibenarkan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!