Video tular: Setiausaha Ka Siong lapor polis
PUTRAJAYA - Setiausaha Sulit kepada Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Ong Cher Chin membuat laporan polis berhubung penyebaran video tidak benar dan berbaur perkauman.
Menerusi perkongsian di laman Facebooknya, Ka Siong yang juga Menteri Pengangkutan berkata, laporan itu dibuat di Balai Polis Putrajaya pada jam 11.35 pagi Khamis.
"Diharapkan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dapat menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan tegas terhadap dalang di sebalik video menyebarkan berita tidak benar serta berbaur perkauman yang berupaya mencetuskan suasana tidak harmoni dalam negara ini," katanya.
Satu video tular di laman sosial berkaitan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020).
Video tersebut didakwa memfitnah Ka Siong, MCA, Barisan Nasional (BN) dan kerajaan Malaysia.
Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan 2020) yang diwartakan dan dikuatkuasakan pada 23 Oktober 2020 adalah bagi meningkatkan hukuman terhadap pesalah jalan raya khususnya melibatkan Seksyen 41 hingga Seksyen 45 berkaitan pemandu di bawah pengaruh alkohol, dadah dan memandu secara melulu atau merbahaya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!