Polis maut dilanggar lari

Kereta jenis Proton Gen2 yang dinaiki suspek dalam kejadian itu di Kilometer 13.6 Lebuh raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) pada pagi Khamis. Gambar kanan: Keadaan motosikal mangsa.
Kereta jenis Proton Gen2 yang dinaiki suspek dalam kejadian itu di Kilometer 13.6 Lebuh raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) pada pagi Khamis. Gambar kanan: Keadaan motosikal mangsa.
A
A
A

GOMBAK - Seorang anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya maut dalam kemalangan langgar lari di Kilometer 13.6 Lebuh raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) pada pagi Khamis.

Mangsa yang berusia 56 tahun dikatakan dalam perjalanan dari arah Ampang menghala Batu Caves dengan menunggang sebuah motosikal sekitar jam 3 pagi.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, sebuah kereta jenis Proton Gen2 telah melanggar belakang motosikal mangsa menyebabkannya terjatuh sebelum diseret sejauh 100 meter ke arah kiri jalan.

"Selepas kemalangan, pemandu Proton Gen2 tersebut meninggalkan tempat kejadian.

"Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurutnya, suspek berusia 35 tahun berjaya ditangkap di hadapan sebuah premis di Taman Puncak Jalil, Bandar Putra Permai, Seri Kembangan pada jam 1 tengah hari pada hari kejadian.

"Polis turut merampas Proton Gen2 warna merah yang dipercayai terlibat dalam kemalangan tersebut.

"Suspek akan dibawa Hospital Selayang untuk pengambilan sampel air kencing dan darah, seterusnya dibawa ke Mahkamah Majistret Selayang bagi permohonan reman pada Jumaat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Pihak polis meminta kerjasama daripada orang ramai yang menyaksikan kejadian atau yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan ini untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bilik Gerakan IPD Gombak di talian 03-61262222," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!