Penjaga tokong ditemui mati dipercayai diserang anjing
IPOH - Seorang warga emas ditemui mati dalam keadaan tidak berpakaian dengan beberapa kesan kecederaan dipercayai gigitan anjing dalam sebuah tokong Buddha di Jalan Sultan Nazrin Shah di Gunung Rapat di sini pada Khamis.
Keadaan mangsa dikenali Chee Ah Lin, 73, itu disedari bendahari tokong berkenaan sekitar jam 12 tengah hari sebelum membuat laporan polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Lee Swee Sake berkata, siasatan ke lokasi kejadian telah menemui dua anjing yang sedang berkeliaran berhampiran tempat mangsa ditemui.
Menurutnya, polis turut menemui kesan darah di lantai, sebatang penyapu dan seluar jeans dipercayai milik mangsa dalam keadaan koyak seakan digigit haiwan.
"Pemeriksaan ke atas tubuh mangsa kemudiannya telah menemui kesan gigitan haiwan di bahagian leher dan tangan, kita tidak menolak kemungkinan ia ada kaitan dengan serangan anjing.
"Berdasarkan keadaan mayat itu, mangsa dipercayai telah meninggal dunia sekitar 24 ke 36 jam sebelum ditemui," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian pada Khamis.
Beliau berkata, maklumat awal mengatakan mangsa telah bekerja di tokong terbabit sebagai penjaga sejak lebih dua tahun lalu dan mempunyai beberapa sejarah kesihatan antaranya darah tinggi.
Katanya, maklumat juga memberitahu bahawa dua anjing yang ditemui itu merupakan anjing belaan dan memang dilepaskan bagi tujuan menjaga kawasan itu.
"Setakat ini, polis tidak menemui apa-apa kesan jenayah lain pada tubuh mangsa dan tiada kehilangan barangan berharga dilaporkan.
"Jadi buat masa ini, kita klasifikasikan kes sebagai mati mengejut, siasatan seterusnya akan dibuat selepas keputusan bedah siasat ke atas mangsa dikeluarkan," katanya.
Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!