Cadangan dasar pelaburan baharu kini di fasa akhir
KUALA LUMPUR - Cadangan membabitkan dasar pelaburan baharu untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi kini di fasa akhir sebelum dibentangkan di Kabinet.
Menteri Kanan (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara itu merupakan hasil perbincangan kementeriannya melalui Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bersama Bank Negara Malaysia (BNM) dan Kementerian Kewangan.
“Kita berharap untuk mendapat pengesahan (sokongan) bagi cadangan itu dalam masa beberapa minggu lagi,” katanya dalam sidang media pada Khamis.
Selain itu, Mohamed Azmin berkata, walaupun negara berdepan pelbagai cabaran untuk menarik pelaburan asing akibat sekatan perjalanan, usaha seperti sesi libat urus secara maya masih diadakan secara berterusan.
Menurutnya, tindakan proaktif libat tersebut dengan pelbagai pihak seperti dewan perniagaan, persatuan industri dan kedutaan asing juga kerap diadakan yang turut mengetengahkan aspek bantuan dan inisiatif kerajaan selain mendapatkan maklum balas serta cabaran yang dihadapi mereka.
“Malaysia masih merupakan destinasi pilihan mereka bagi tujuan pelaburan langsung asing,” katanya.
Katanya, pelaburan terbaru dari China bernilai RM5.4 bilion yang membabitkan usaha pelaburan di Bentong, Pahang serta Banting, Selangor.
Menurutnya, selain itu, Korea Selatan juga menyasarkan untuk melabur sebanyak RM2.3 bilion di Malaysia bagi pengeluaran bateri khas untuk kenderaan elektrik -- usaha pertama di luar negara tersebut.
Dalam pada itu, Mohamed Azmin berkata, beliau akan melakukan misi perdagangan ke Jepun dan Korea Selatan pada akhir bulan ini.
“Kita juga mahu memaklumkan mereka bahawa kita adalah sebuah kerajaan yang mesra perniagaan, mempermudah aktiviti perniagaan serta dalam persekitaran yang kondusif,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!