Pokok ikonik Melaka saksi kepayahan pengayuh beca

Beberapa pengayuh beca berada di bawah pokok warisan berkenaan di hadapan jam besar berhampiran Bangunan Merah Stadthuys, Banda Hilir. - Foto K Henderson
Beberapa pengayuh beca berada di bawah pokok warisan berkenaan di hadapan jam besar berhampiran Bangunan Merah Stadthuys, Banda Hilir. - Foto K Henderson
A
A
A

MELAKA - Hilangnya pokok ikonik Melaka atau nama saintifiknya ‘Peltophorum Pterocarpum' yang tumbang pada Selasa lalu bukan sahaja menimbulkan rasa sebak kepada rakyat Melaka malah turut dirasai seorang anak bekas pengayuh beca.

Asrimayanti Chi Ari, 36, yang bekerja sebagai jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) berkata, pokok berusia lebih 100 tahun sememangnya meninggalkan kesan mendalam kepadanya memandangkan Allahyarham bapanya, Chi Ari Ahmad yang dipanggil babah sering meletakkan beca di bawah pokok tersebut.

Menurutnya, sebagai anak pengayuh beca dia tidak malu dengan pekerjaan bapanya yang gigih membesarkan mereka adik-beradik dan pasti pokok itu menjadi saksi kepayahan dan kesulitan yang terpaksa dilalui Allahyarham dan rakan-rakan demi menyara keluarga.

Katanya, bukan beca ayahnya sahaja malah pengayuh beca lain juga tidak terkecuali menjadikan pokok itu sebagai 'port' bersembang, berehat dan mengelap peluh sementara menunggu pelanggan datang.

"Pokok besar depan Jam Besar Melaka banyak menggamit kenangan. Arwah babah dulu seorang penarik beca, selalu letak becanya di bawah pokok besar itu.

"Arwah babah selalu pesan 'babah tak ada harta nak ditinggalkan, babah tak mahu anak babah susah macam babah, jadilah seorang yang boleh membanggakan keluarga'," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Khamis.

Pada Rabu, Sinar Harian melaporkan pokok ikonik Melaka atau nama saintifiknya ‘Peltophorum Pterocarpum' berusia 127 tahun dan sering menjadi lokasi bergambar pelancong di hadapan Bangunan Merah Stadthuys, Banda Hilir, di sini tumbang dalam kejadian angin kencang awal pagi Rabu.

Pokok dari jenis Batai Laut itu dipercayai ditanam sejak zaman penjajahan British pada tahun 1824.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Pokok warisan Melaka berusia lebih 120 tahun tumbang

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!