Diskriminasi industri sawit negara: Malaysia teliti maklum balas EU

Malaysia akan meneliti keseluruhan maklum balas dan penjelasan yang diberikan EU berhubung tindakan undang-undang berkaitan isu diskriminasi kepada industri sawit negara.
Malaysia akan meneliti keseluruhan maklum balas dan penjelasan yang diberikan EU berhubung tindakan undang-undang berkaitan isu diskriminasi kepada industri sawit negara.
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia akan meneliti keseluruhan maklum balas dan penjelasan yang diberikan Kesatuan Eropah (EU) berhubung tindakan undang-undang berkaitan isu diskriminasi kepada industri sawit negara.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, Malaysia telah menghadiri sesi konsultasi secara maya dengan EU pada Rabu lalu.

"Pelaksanaan sesi ini adalah susulan daripada permohonan kerajaan Malaysia pada 15 Januari untuk menjalani sesi konsultasi melalui Mekanisme Penyelesaian Pertikaian (DSM) di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO)," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurutnya, sesi konsultasi itu merupakan platform bagi mendapatkan penjelasan dan pemahaman lanjut berhubung tindakan EU terhadap pelaksanaan Delegated Regulation di bawah EU RED II.

"Selain itu, ia juga merupakan salah satu usaha ke arah penyelesaian kepada isu-isu yang dilihat sebagai diskriminasi ke atas minyak sawit negara yang dibangkitkan oleh Malaysia," katanya.

Beliau berkata, tindakan susulan sewajarnya akan diambil selaras dengan peraturan dan prosedur yang telah digariskan di bawah WTO.

"Komitmen terhadap proses perundangan terhadap EU berhubung isu anti minyak sawit akan terus menjadi keutamaan KPPK dalam memastikan kepentingan industri sawit negara merangkumi pekebun kecil sawit sentiasa dijaga dan diutamakan," katanya.

Sesi konsultasi disertai delegasi Malaysia diwakili oleh KPPK, Jabatan Peguam Negara (AG), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Luar Negeri (KLN), Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) dan agensi lain berkaitan.

Artikel Berkaitan:

Ia turut dihadiri oleh wakil dari Indonesia dan Colombia sebagai negara pemerhati.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!