Hubungan dengan CIA: Pemuda Amanah lapor polis

Mohd Sany (dua dari kanan) dan timbalannya, Mohd Shazni Munir Mohd Ithnin (dua dari kiri) menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat di IPD Dang Wangi, hari ini.
Mohd Sany (dua dari kanan) dan timbalannya, Mohd Shazni Munir Mohd Ithnin (dua dari kiri) menunjukkan salinan laporan polis yang dibuat di IPD Dang Wangi, hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Satu laporan polis dibuat berhubung rakaman audio yang mendakwa Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mempunyai hubungan akrab dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA), Amerika Syarikat (AS).

Laporan polis oleh Pemuda Amanah itu dibuat di Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, tadi.

Ketua Pemudanya, Mohd Sany Hamzan berkata, laporan itu dibuat bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan berhubung perkara itu.

Menurutnya, dalam rakaman terbabit jelas menunjukkan Nik Abduh mengakui mempunyai hubungan akrab dengan CIA.

“Jadi pihak berkuasa perlu menyiasat tentang kesahihan keseluruhan kandungan rakaman tersebut memandangkan apa keperluan Nik Abduh untuk mempunyai hubungan rapat dengan agen dari CIA.

ARTIKEL BERKAITAN :

Saya diminta nafikan audio itu: Nik Abduh

Pas akui suara audio Nik Abduh

Artikel Berkaitan:

"Ini mengundang keresahan kita sebagai rakyat Malaysia apabila ada kepimpinan terutama beliau merupakan seorang Ahli Parlimen yang ada hubungan akrab sebegitu (dengan CIA),” katanya kepada media sejurus membuat laporan polis.

Mohd Shazni berkata, Pemuda Amanah juga meminta agar pihak berkuasa menyiasat, jika terbukti hubungan itu betul, siapakah ejen yang ditemui Nik Abduh dan apakah maklumat yang dikongsi oleh mereka.

"Kita mahu siasatan polis merangkumi persoalan-persoalan itu, kerana Pemuda Amanah berpendapat seorang Ahli Parlimen walaupun secara tertutup mengaku ada hubungan akrab dengan CIA, itu bukan perkara ringan tapi itu perkara yang amat serius dan perlu melalui satu siasatan yang telus," katanya.

Terdahulu, isu rakaman audio yang didakwa mengandungi suara Nik Abduh kembali timbul selepas Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyelesaikan saman terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown di luar mahkamah pada awal bulan ini.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man turut menyentuh mengenai rakaman audio itu yang menyatakan berlaku pengkhianatan pihak tertentu yang menyebarkannya.

Pada awalnya, Nik Abduh menafikan suara itu adalah dirinya selain menyifatkan ia sebagai fitnah.

Walau bagaimanapun semalam, Nik Abduh mengaku beliau ialah individu dirakam bercakap mengenai Pas menerima duit UMNO sebelum rakaman audio tersebut tular menjelang PRU14.

Dalam rakaman audio itu, Nik Abduh juga mengakui mempunyai hubungan akrab dengan CIA.

"Ana (saya) boleh bercakap dengan CIA. CIA Amerika tu ana kenal orang dia yang sentiasa berhubung dengan ana," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!