DAP ingatkan ahli jangan jadi parasit dalam parti
ALOR SETAR - DAP Kedah mengingatkan ahlinya tidak menjadi parasit dalam parti.
Pengerusinya, Tan Kok Yew berkata, sebaliknya setiap ahli parti itu perlu menjadi penambah nilai termasuk kepada Pakatan Harapan (PH) dan negara.
Sehubungan itu katanya, ahli DAP perlu melakukan yang termampu untuk kebajikan dan kesejahteraan rakyat supaya rakyat mengenang jasa parti itu.
“Perjuangan kita bukan untuk kendiri tetapi untuk rakyat. Jangan lupa asal perjuangan dan mandat rakyat. Kita harus mendisiplinkan diri untuk memainkan peranan sama ada menyampaikan berita benar atau berkhidmat kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Biasa DAP Kedah 2021 dan Sambutan Ulang Tahun DAP ke-55 yang dirasmikan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, di sini pada Jumaat.
Kok Yew yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Derga berkata, DAP Kedah merupakan ‘payung’ kepada semua ahli di negeri itu dan mereka bersaudara dalam sebuah keluarga yang besar.
“Sedikit sebanyak pertelingkahan dan perbezaan pendapat adalah perkara biasa, itu adalah ciri demokrasi. Kebebasan untuk dipilih, tidak dipilih dan memilih atau tidak memilih juga demokrasi. Biarlah kita bertoleransi, berbincang, mengatur strategi mengikut kemampuan agar kita dapat mencapai yang terbaik untuk parti dan rakyat,” katanya.
Menurutnya, musuh mereka adalah pengkhianat, penyangak dan penghasut, bukannya sesama ahli parti mahupun PH.
“Biarlah kita sama-sama buang mereka dari parti kerana mereka inilah parasit,” katanya.
Kok Yew turut mengakui ketika menjadi pemerintah sebelum ini, mereka tidak terkecuali mempunyai pelbagai kekurangan.
“Buat masa ini, ambil kesempatan untuk melengkapkan diri supaya kita dapat membina masyarakat dan negara yang lebih baik,” katanya.
Beliau turut menyarankan DAP Kebangsaan memperbanyakkan latihan dan pendidikan politik, pengurusan kerajaan dan sebagainya kepada ahli parti.
“Saya ingin berpesan kepada semua pemimpin dan ahli agar proaktif untuk belajar, berkongsi dan bekerja untuk dapat pengalaman. Peluang diberi kepada mereka yang sentiasa bersedia dan mencarinya,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!