Pahang bangun sistem imunisasi Covid-19
KUANTAN - Kerajaan negeri Pahang kini membangunkan Sistem Imunisasi Covid-19 Pahang (SICP) bagi memudahkan lebih ramai rakyat mendaftar untuk suntikan vaksin.
Menteri Besar, Datuk Seri Rosdy Wan Ismail berkata, sistem berkenaan merupakan aplikasi yang ditambah baik melalui MySejahtera dan laman sesawang atau ‘hotline’ Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedia ada.
"Aplikasi MySejahtera sudah baik dan mudah digunakan tetapi ada perkara yang lebih sesuai untuk rakyat di negeri ini. Jadi kita wujudkan sistem ini.
"Sebagai contoh mungkin ada dalam kalangan warga emas tidak mempunyai telefon bimbit dan mereka boleh meminta anak atau keluarga mendaftar bagi dirinya untuk mendapatkan vaksin.
"Rakyat Pahang juga boleh datang terus ke pusat vaksin di seluruh negeri untuk berdaftar atau menghubungi menerusi talian telefon," katanya pada Program Imunisasi Covid-19 (Dos Kedua) Peringkat Negeri Pahang dan Majlis Pelancaran Sistem Imunisasi Covid-19 Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah pada Jumaat.
Wan Rosdy berkata, bagi menghadapi Fasa 2 bermula April ini, kerajaan negeri menyediakan data bagi 360,000 calon penerima dan dimasukkan ke dalam SICP membabitkan warga emas 60 tahun dan ke atas, orang kurang upaya (OKU) dan pesakit kronik.
Jelasnya, data berkenaan diperoleh daripada beberapa agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa).
"Calon penerima hanya perlu menyemak dalam sistem dan membuat pengesahan serta persetujuan. SICP akan bersedia untuk memulakan pemberian tarikh janji temu mereka.
"SICP juga menyediakan 12 talian untuk urusan kemas kini data, menukar temu janji atau semakan sahaja," katanya.
Ditanya mengenai penerimaan suntikan dos vaksin kali kedua, Wan Rosdy berkata, beliau tiada sebarang alahan selepas menerima suntikan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!