DAP mohon kerajaan mansuhkan kompaun RM10,000
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, tindakan kerajaan mengenakan kompaun ibarat 'membantu sedikit dengan tangan kanan tetapi mengambil lebih banyak dengan tangan kiri' dan ia tidak membantu mengurangkan beban kewangan rakyat.
Malah katanya, rakyat juga kecewa dengan amalan dua darjat apabila menteri yang melanggar sekatan PKP tidak menerima hukuman berbanding rakyat biasa.
“Apa gunanya beri bantuan sekali gus RM500 kepada individu dan geran sekali gus RM3,000 kepada perniagaan kecil.
"Pada masa sama boleh didenda RM10,000 untuk individu dan RM50,000 untuk perniagaan kerana melanggar sekatan PKP?” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Biasa DAP Kedah 2021 dan sambutan ulangtahun DAP ke-55 di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Pengerusi DAP Kedah, Tan Kok Yew dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) Kedah.
Guan Eng berkata, kerajaan PN terperangkap dalam paradigma pembayaran sekali gus dan bantuan berulang secara berterusan sehingga berakhir krisis Covid-19 namun gagal menunaikan janji untuk meningkatkan bantuan bulanan kebajikan termasuk kepada penganggur, memberikan 150,000 tablet dan komputer riba untuk pelajar serta pelanjutan automatik moratorium pinjaman bank.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya turut kesal apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gagal bertindak terhadap Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun yang dikaitkan dengan kes saman kebankrapan hutang berjumlah RM1.3 juta.
Guan Eng berkata, isu-isu itu sepatutnya dibangkitkan oleh ahli Parlimen pada persidangan Parlimen yang ketika ini masih digantung.
Dalam pada itu, Guan Eng turut membidas beberapa tindakan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dan kerajaan PN yang melukakan perasaan bukan sahaja rakyat Kedah tetapi juga seluruh rakyat Malaysia.
“Jelas pendekatan itu bertujuan untuk mengalihkan perhatian dan menutup ketidakmampuan Pas menunaikan janji mereka menyelesaikan masalah rakyat Kedah terutama isu bekalan air, peluang pekerjaan dan perniagaan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!