Kerajaan disaran kembalikan GST
SHAH ALAM - Kerajaan disaran mengembalikan perlaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada kadar tiga peratus.
Jurucakap MCA, Mike Chong berkata, GST terbukti sebagai sistem percukaian yang telus dan mampu membantu kerajaan menjana pendapatan negara pasca Covid-19.
"Keputusan kerajaan hari ini untuk tidak memperkenalkan cukai-cukai baharu biarpun pendapatan negara merosot adalah satu keputusan tepat. Kebajikan rakyat adalah perkara yang lebih penting.
"Namun demikian, sudah tentu kerajaan akan mencari jalan untuk menjana pendapatan negara pasca Covid-19.
"Adalah lebih baik sekiranya kerajaan kembali melaksanakan GST kerana ia terbukti sistem percukaian yang telus. Mungkin kadar cukai juga wajar diturunkan dari enam peratus sebelum ini kepada tiga peratus supaya ia tidak membebankan rakyat," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau, dengan pelaksanaan itu akan mewujudkan situasi menang-menang di mana rakyat tidak terbeban dan negara dapat menjana pendapatan.
"Kemudian ia akan dikembalikan semula kepada rakyat menerusi manfaat pembangunan, infrastruktur, fasiliti, pendidikan dan seumpamanya," katanya.
Beliau berkata, pemansuhan GST oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang kemudian memperkenalkan cukai-cukai baharu pada akhirnya telah membebankan rakyat secara keseluruhannya.
"Apa yang penting, rakyat pasti dapat menilai bagaimana gagalnya PH mentadbir negara walaupun dalam keadaan pandemik Covid-19 masih belum wujud," katanya.
-END-
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!