Bantuan khas Covid-19 suntik semangat petugas KKM

Datuk Seri Dr Adham Baba
Datuk Seri Dr Adham Baba
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bantuan Khas Covid-19 untuk petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) disifatkan sebagai suntikan semangat dalam meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.

Menteri berkenaan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, bantuan pada kadar RM200 sebulan bagi setiap petugas itu amat bermakna kepada mereka yang terlibat dengan mengambil kira pertambahan tugas dalam melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Dalam kenyataan hari ini, Adham berkata, KKM turut menghargai keputusan kerajaan menaikkan peruntukan RM3 bilion kepada RM5 bilion bagi program itu untuk mempercepatkan sasaran imunisasi berkelompok pada Disember 2021.

“KKM mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang amat prihatin dan memahami pengorbanan 15,000 petugas barisan hadapan KKM yang bertugas di 950 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara.

“KKM mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri kerana amat prihatin kepada para petugas barisan hadapan negara dalam mengawal penularan pandemik Covid-19,” katanya.

Menurutnya, KKM akan terus sedaya upaya melaksanakan langkah membendung penularan wabak itu agar aktiviti ekonomi dapat diteruskan dan sempadan negara dapat dibuka untuk kesejahteraan serta kemakmuran negara.

Rabu lepas kerajaan melancarkan Pemerkasa bernilai RM20 bilion dengan suntikan fiskal baharu berjumlah RM11 bilion sebagai sebahagian daripada usaha menyokong proses pemulihan ekonomi negara. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!