Pemerkasa lonjak prestasi peniaga runcit, borong
PUTRAJAYA - Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) diyakini akan melonjakkan prestasi keseluruhan ekosistem perdagangan domestik terutama kepada peniaga peruncitan, pemborong dan pengedaran.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam satu kenyataan memaklumkan, Pemerkasa merupakan program yang melengkapkan inisiatif sedia ada seperti Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) dan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin).
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Rabu melancarkan Pemerkasa bernilai RM20 bilion serta suntikan fiskal baharu berjumlah RM11 bilion dengan lima fokus utama yang akan menumpukan kepada 20 initiatif strategik bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi, menyokong perniagaan dan meneruskan bantuan bersasar kepada rakyat dan sektor yang masih terkesan.
Alexander Nanta berkata, KPDNHEP akan terus menyokong Inisiatif Ketiga Pemerkasa iaitu Penguatkuasaan Perundangan Yang Ketat dan Telus bagi mengawal penularan pandemik Covid-19.
“Sehingga 13 Mac, penguat kuasa KPDNHEP telah melaksanakan pemeriksaan di 434,448 premis perniagaan di seluruh negara dengan pematuhan yang membanggakan pada kadar 98.04 peratus,” katanya.
Beliau berkata, KPDNHEP kini dalam perancangan melaksanakan advokasi untuk peniaga di pasar utama termasuk Pekan Rabu di Alor Setar, Kedah; Pasar Chowrasta di Pulau Pinang, Pasar Satok di Kuching, Sarawak serta Pasar Kraftangan di Kota Kinabalu, Sabah selari dengan Inisiatif Kesebelas dan Kedua belas Pemerkasa iaitu Automasi, Digitalisasi dan Mengurangkan Jurang Digital. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan umum pakej bantuan keenam Covid-19
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!