UMNO perlu pulihkan keyakinan rakyat untuk hadapi PRU15

Bung Moktar
Bung Moktar
A
A
A
KOTA KINABALU - Keyakinan rakyat harus dipulihkan segera bagi memastikan UMNO terus relevan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang akan datang.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, UMNO perlu terus diperkasa sebagai sebuah parti yang memberi perlindungan dan juga payung kepada bangsa Melayu serta bumiputera demi mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada parti itu.

"UMNO khususnya di Sabah telah melalui pelbagai cabaran dan dugaan selepas tsunami Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), sehingga ada pemimpin dan ahli yang cuak dan gelabah serta tidak tahan diuji bertindak keluar parti.

"Bagaimanapun berbekalkan prinsip perjuangan dan kesetiaan kepada parti kita hadapinya bersama dan semangat itu telah dibuktikan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis sehingga ke Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. UMNO Sabah telah membuktikan ia masih relevan serta memainkan peranan besar dalam pembentukan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS)," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sehubungan itu, Bung Moktar yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah meminta semua bahagian UMNO di negeri ini menyusun gerak kerja dengan memperkasakan parti di semua peringkat terutamanya dalam menghadapi PRU15 akan datang.

"Apa bila kita kuat, gerak kerja kita tersusun mendekati ahli dan rakyat di peringkat akar umbi kita akan menjadi sebuah organisasi yang meyakinkan.

"UMNO tidak harus lagi dilihat sebagai sebuah parti yang ekslusif hanya untuk menguatkan individu tertentu memandangkan kekuatan parti itu terletak atas dasar sokongan akar umbi.

"Ini penting bagi kita supaya parti keramat yang menjangkau usia 74 tahun ini akan terus mendapat tempat dan sokongan daripada akar umbi khususnya golongan muda yang menjadi pelapis kepada barisan pimpinan pada masa ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!