Peruntukan khusus selenggara sekolah agama rakyat, persendirian
PUTRAJAYA - Buat julung kalinya, Kementerian Kewangan menyediakan peruntukan khusus sebanyak RM25 juta bagi tujuan menaik taraf dan menyelanggara sekolah agama rakyat dan sekolah agama persendirian yang berdaftar.
Menterinya, Lim Guan Eng berkata, peruntukan secara terus itu diserahkan sendiri kepada Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik hari ini.
“Pemberian ini memperlihatkan komitmen kerajaan membantu sekolah-sekolah dan institusi-institusi pendidikan secara inklusif, dan ini termasuk pemberian sebanyak RM15 Juta kepada Universiti Islam Malaysia, sebuah institusi pengajian tinggi swasta.
“Kerajaan mengambil berat hal ehwal dan kebajikan para pelajar, sekolah-sekolah, dan institusi-institusi pendidikan supaya kualiti pendidikan yang disampaikan mencapai tahap yang memuaskan,”katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Katanya lagi, peruntukan untuk hal ehwal agama Islam juga telah ditingkatkan sebanyak RM100 juta di dalam Belanjawan 2019 iaitu daripada RM1.1 bilion kepada RM1.2 bilion.
“Saya ingin tekankan bahawa Kementerian Kewangan akan terus memainkan peranannya dalam meningkatkan mutu persekolahan dan pendidikan untuk semua mengikut kemampuan semasa,”katanya.
Bagaimanapun jelas Guan Eng lagi, bantuan kepada sekolah-sekolah agama rakyat dan persendirian hanya diberikan dengan syarat ia perlu berdaftar dan tidak dimiliki parti atau ahli politik.
“Ia selaras dengan matlamat kerajaan untuk memisahkan pendidikan daripada pengaruh parti politik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!