Langgar SOP: Polis akan panggil Najib
KUALA LUMPUR - Polis menjalankan siasatan mengenai video tular di media sosial yang memaparkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah restoran di sini pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya menjalankan siasatan di bawah Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) 2021.
"Video tular tersebut mendakwa Datuk Seri Najib Razak tidak menjalankan imbasan suhu badan dan ‘check in’ MySejahtera apabila hendak memasuki Restoran Nasi Ayam Hainam Chee Meng, Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur di sini.
"Kesemua yang terlibat dalam kes ini akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk memberi keterangan dalam masa terdekat," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.
Katanya, kertas siasatan akan diserahkan ke pejabat Pendakwa Raya apabila siasatan selesai dijalankan.
ARTIKEL BERKAITAN: Tak imbas MySejahtera, Najib tawar diri dikompaun
Pada Jumaat, Najib mengakui kesilapan beliau tidak mengimbas MySejahtera ketika makan di kedai.
Beliau meminta pihak berkuasa mengeluarkan kompaun terhadapnya kerana kecuaian tersebut.
“Saya mengaku kesilapan saya pada kali ini tidak membuat 'check-in' sendiri walaupun pegawai-pegawai saya telah berbuat demikian.
“Tidak mengapa. Saya minta pihak berkuasa keluarkan saman terhadap saya atas kesilapan tidak sengaja ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!